Firman Allah: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran
(Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan
adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu
menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang
daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)
Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia.
Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang
dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w
sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim.
Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya
membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak
baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk
menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan
membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka
terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh
mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu
menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya.
Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang
pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan
perintah Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan
sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat. Mereka
bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada,
tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan
hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim
dan Ahmad)
Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w
keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata: “Aku merasa
cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai
Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana
aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda
Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku
bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan
ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada
syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku
sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)
Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Aku
dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu pertama
syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para
isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan
isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Hadith Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang
mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang
kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang
mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus,
“Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir,
makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan
yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama
dengannya dan begitu juga minum.”
Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu
(kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam
barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah
panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka
kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi
Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan
atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu.
Wallahu’alam…
Tidak ada komentar:
Write komentar