Mungkin ada di antara kita masih lagi keliru dengan perbezaan di 
antara iblis, syaitan dan jin ini. Walhal para ulama’ sendiri berbincang
 panjang tentang perbezaan yang wujud di antara iblis, syaitan dan jin. 
Kita boleh merujuk perbincangan tersebut dalam kita tafsir al-Tabari, 
al-Qurtubi dan lain-lain.  Namun, secara ringkasnya boleh dinyatakan 
bahawa jin merupakan makhluk Allah yang diberi tanggunjawab 
memperhambakan diri kepada Allah seumpama manusia.
Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56 bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Justeru, jin adalah seumpama manusia dari sudut keimanan dan 
kekufuran. Oleh itu, terdapat dalam kalangan jin golongan  yang Islam, 
soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya.
Firman Allah dalam surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: Dan 
sesungguhnya di antara kami (jin) ada orang-orang yang soleh dan di 
antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan 
yang berbeza-beza. Jin merupakan makhluk Allah yang diciptakan daripada 
api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27 bermaksud: Dan kami telah 
menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.
Manakala iblis pula ialah makhluk Allah yang derhaka dari kalangan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa  Iblis  adalah daripada jenis jin.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50, bermaksud:  Dan 
(ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah
 kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal
 dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh 
itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai 
sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang 
mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.
Manakala syaitan pula adalah golongan yang engkar dari kalangan jin 
dan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 112 bermaksud: 
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari 
syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada 
setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk 
memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka 
tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka 
ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran, 
perkataan syaitan bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh itu, syaitan terdiri 
daripada golongan jin dan manusia  yang cuba menjauhkan serta 
menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan 
digunakan pelbagai cara dan tipu daya. Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis, dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Boleh
 dikatakan bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan ‘mafia’
 yang engkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain. 
Syaitan berusaha melakukan ‘peperangan’ dengan anak cucu Adam sebagai 
balas dendam atas pengusiran nenek moyang mereka iblis dari syurga 
ekoran keengganan untuk sujud pada nabi Adam.
Firman Allah dalam surah al-A`raf ayat 16-17 bermaksud: Iblis 
berkata: “Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat 
(maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka 
(dari menjalani) jalanMu Yang lurus;  “Kemudian aku datangi mereka, dari
 hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta 
dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka 
bersyukur”. Menurut Ibn Qayyim maksud “jalan yang lurus” di dalam ayat 
di atas  ialah Islam ialah jalan yang membawa kepada Allah SWT. Ini 
bersesuaian dengan hadith yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan akan 
menghalang anak Adam pada semua jalan.
Ibn Qayyim menyatakan lagi: “Jalan yang dilalui oleh manusia hanya 
empat; kanan, kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, 
syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan
 ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika 
dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan 
mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya“.
Jelaslah bahawa posisi depan dan belakang yang dinyatakan itu memberi
 gambaran bahawa syaitan akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan
 kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dari 
segenap penjuru yang ada pada manusia. Bahkan di dalam ayat 
al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi 
habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan 
yang ada padanya.

Tidak ada komentar:
Write komentar